
TELEKOMUNIKASI DI SABAH.

Pengenalan
Pada tahun 1963, selepas tertubuhnya Malaysia bidang komunikasi terus berkembang di negara ini. Sistem rangkaian jauh negeri Sabah dan Sarawak mula dilaksanakan dengan menggunakan gelombang mikro untuk membawa trafik telefon dan televisyen dari Kudat ke Kuching.
Perhubungan di antara Sabah, Sarawak dan Semanjung Malaysia diwujudkan melalui litar kabel dalam laut Perhubungan Kawat Komanwel SEACOM. SEACOM Bahagian Kuala Lumpur-Singapura-Kota Kinabalu dilancarkan pada 15 Januari 1965 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.
Penerokaan dalam bidang telekomunikasi di Malaysia bermula pada awal 1970-an dengan pembinaan stesen satelit bumi di Kuantan, Pahang. Stesen yang dibina dengan kos RM9 juta ini dirasmikan pembukaannya pada 6 April 1970 oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra.
Stesen satelit ini dihubungkan dengan satelit di ruang angkasa Lautan Hindi, INTELSAT 3, (Konsortium Satelit Telekomunikasi Antarabangsa) yang merentasi Malaysia dengan India, Indonesia, United Kingdom, Jepun dan Australia.